Pesawat 737 Max. foto Agensi

WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memerintahkan syarikat penerbangan untuk memperbaiki komponen elektrik pada pesawat Boeing Co 737 Max yang mengalami kecacatan dalam pembuatannya membabitkan lebih daripada 100 buah pesawat yang terbiar di seluruh dunia.

Pembaikan itu bertujuan mengatasi “keadaan tidak selamat” yang akan menelan belanja sekitar AS$ 155,000 untuk 71 pesawat yang beroperasi di AS, kata FAA dalam satu notis.

Syarikat-syarikat penerbangan pula secara sukarela bersetuju menangguhkan operasi pesawat berkenaan sementara menunggu arahan selanjutnya dari Boeing.

Masalah yang wujud dalam pesawat itu boleh menyebabkan perlindungan jentera anti-ais dan fungsi lain gagal, kata FAA.

Notis yang dikeluarkan oleh FAA itu adalah arahan kelayakan udara, memberikan perincian baharu berhubung masalah tersebut.

“FAA mengeluarkan notis ini untuk mengelak berlakunya kehilangan fungsi kritikal dan/atau boleh menyebabkan pesawat gagal terbang dan mendarat dengan selamat,” kata agensi itu dalam arahan tersebut.

Arahan itu disiarkannya ke laman web kerajaan terlebih dahulu.

Selain pesawat yang memerlukan pembaikan, terdapat beberapa ratus pesawat yang dibina sejak 2019 dan kini dalam simpanan yang juga perlu diperbaiki.

Sebilangan besar negara dijangka mematuhi arahan FAA dan memberi perintah yang sama kepada syarikat-syarikat penerbangan mereka.

“Kami menyokong penuh arahan FAA untuk menangani masalah elektrik yang dikenal pasti di tempat-tempat tertentu dalam dek pesawat 737 Max,” kata Boeing dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette