Luqman Hakim Shamsudin.

KUALA LUMPUR – Impian penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi di luar negara tercapai selepas sah akan menyertai kelab dari Belgium, K V Kortrijk.

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dalam kenyataan itu, FAS mengesahkan persetujuan sudah dicapai antara persatuan itu dengan K V Kortrijk untuk perpindahan bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

“Luqman akan terbang ke Belgium untuk bersama dengan kelab terbabit selepas segala dokumentasi diproses dan diluluskan.

“FAS percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya,” kata FAS.

Sebagai rekod, pemain berusia 18 tahun itu dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020.

Dia juga muncul sebagai penjaring terbanyak Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 walaupun sekadar beraksi dalam dua perlawanan.

Selain itu, dia turut menjadi tonggak buat skuad Bawah 19 Tahun (B-19) pada Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019. – MalaysiaGazette