Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menerima cenderahati daripada Pegawai Pengarah Eksekutif Mitsui Fudosan Co Ltd, Akihiko Funaoka pada Majlis Perasmian Fasa 2 Mitsui Outlet di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2018.

SEPANG – Pembukaan fasa kedua pusat membeli-belah Mitsui Outlet Park KLIA mampu menarik pelancong luar negara ke Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Mitsui Outlet Park KLIA berpotensi menjadi pusat membeli belah terbesar di Asia Tenggara apabila pembangunan fasa ketiga dilakukan pada tahun 2021.

 

“Pembukaan fasa kedua membuktikan perkembangan ekonomi yang sihat dan keyakinan pelabur untuk menambah modal pelaburan pada masa depan.

“Ia juga antara inisiatif utama kerajaan untuk menjadikan KLIA bukan sekadar lapangan terbang, malah menjadi tumpuan kemudahan membeli-belah menerusi Pelan Induk Aeropolis KLIA yang mensasarkan tiga aspek iaitu kargo udara, logistik dan taman penerbangan.

“Bagi menyokong pelan itu Mitsui akan memainkan peranannya dengan menembusi pasaran penumpang penerbangan udara secara langsung dengan produk membeli belah berkelas dunia demi keselesaan pengunjung dalam dan luar negara ke Malaysia,” katanya semasa majlis perasmian fasa kedua premis itu bersama Pegawai Pengarah Eksekutif Mitsui Fudosan Co Ltd, Akihiko Funaoka hari ini.

Turut hadir Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad, Tan Sri Syed Anwar Jamalulail; Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali dan Duta Jepun ke Malaysia, H.E Dr. Makio Miyagawa.

Fasa kedua pusat membeli-belah itu mempunyai 70 buah kedai dan dilengkapi 420 tempat letak kereta menjadikan jumlah keseluruhan tempat letak kereta sebanyak 2,520 petak.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, KLIA Aeropolis diunjurkan menyumbang sebanyak RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan 56,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Katanya, kerajaan juga merancang untuk memudahkan proses pergerakan kargo antara Pelabuhan Klang dan KLIA menerusi kerjasama Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Langkah itu bertujuan melancarkan pergerakan operasi di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) KLIA dan operasi Logistik di KLIA dan penambahbaikan ini dijangka bermula pertengahan tahun ini.

“Pengembangan Mitsui juga akan membantu negara membuka operasi lebih ramai operator logistic daripda Jepun untuk pembangunan perdagangan antara Jepun, Malaysia dan ASEAN pada masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette.