Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Tindakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melabelkan ketiga- tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) negara ini sebagai pengganas merupakan usaha berterusan Amerika Syarikat memerangi mereka yang membantu rakyat Palestin dan perjuangan membela kezaliman khususnya di Palestin.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau yakin usaha ketiga-tiga pemimpin NGO itu membela nasib umat Islam di Palestin antara punca mereka disenaraikan sebagai pengganas oleh FBI.

“Apakah kerana sumbangan kemanusiaan mereka kepada mangsa kezaliman di Palestin dianggap pengganas?

“Bagaimana pula mereka yang menyalurkan senjata dan ketenteraan kepada zionis bagi meneruskan pembunuhan kanak-kanak dan wanita tidak dianggap pengganas? Dunia harus berlaku adil kepada nasib umat Islam khususnya di Palestin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau, rakyat Malaysia terkejut dan resah dalam sehari dua ini apabila FBI melabelkan tiga pemimpin NGO Islam sebagai pengganas.

“Walaupun pada sidang media semalam menteri dalam negeri mengesahkan ketiga-tiga individu tersebut tidak terlibat dengan aktiviti keganasan, ia tetap meresahkan kita kerana ia seolah-olah tanda-tanda cubaan campur tangan pihak luar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu Kerajaan Madani perlu terus bertegas agar tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak dalam isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Tegas beliau, perkara ini mesti diuruskan dengan kewibawaan kita sendiri tanpa didorong oleh campur tangan asing termasuklah agensi perisikan asing sama ada daripada FBI atau Mosad.

Tuan Ibrahim menambah, Pas memberikan jaminan sentiasa menyokong usaha-usaha menjaga keselamatan negara daripada sebarang ancaman dan keganasan selari dengan pendekatan damai atau ‘muwajahah silmiyyah’ agar terus berdaulat.

Semalam, Menteri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiga pemimpin NGO yang disenaraikan pengganas tidak tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan aktiviti keganasan di negara ini.

Menurutnya, identiti kesemua 359 individu dan 53 NGO yang terlibat dengan Ops Ihsan telah ditapis sebelum operasi berkenaan dimulakan.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari sebelum ini mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat. – MalaysiaGazett