FELCRA FC merupakan naib juara Liga Perdana 2018.

KUALA LUMPUR – Teka-teki masa depan naib juara Liga Perdana 2018, Felcra FC akhirnya terjawab apabila kelab itu akan dibubarkan.

Pengesahan itu sekaligus menyaksikan impian melihat aksi Felcra FC dalam Liga Super musim depan tidak kesampaian.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab berkata, pembubaran pasukan itu kerana melibatkan kos yang tinggi.

“Felcra FC akan dibubarkan kerana memerlukan kos sebanyak RM8 juta semusim dan tidak memberi keuntungan.

“Selain itu beberapa anak syarikat lain juga akan ditutup dan digabungkan dalam usaha melakukan perubahan struktur dalam Felcra,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad yang baharu di Wisma Felcra di sini hari ini.

Sebelum ini, Felcra FC berdepan isu dana untuk membentuk sebuah pasukan berstatus Liga Super sejak tiga bulan lalu.

Namun, isu itu semakin menemui penyelesaian apabila Felcra FC tidak lagi bergantung kepada dana Felcra Berhad selepas mendapat majoriti dana luar dengan jumlah melebihi RM10 juta setakat ini.

Memetik laporan media, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Felcra, Datuk Hazian Murad berkata, perkembangan positif itu sudah cukup untuk membawa khabar gembira mengenai status Felcra FC pada musim depan dan akan membuat pengesahan dengan penganjur Liga Bolasepak Malaysia (MFL), 1 November depan. – MalaysiaGazette