Pengarah Besar Felda Datuk Othman Omar menyerahkan sumbangan kepada seorang peneroka di Felda Behrang.

KUALA LUMPUR- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah mengagihkan bantuan makanan bernilai RM6.3 juta kepada hampir 70,000 keluarga peneroka daripada 317 tanah rancangan setakat ini.

Bantuan berupa barangan makanan keperluan asas itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk komuniti Felda, anak-anak peneroka yang telah berjaya, badan korporat, agensi kerajaan dan individu.

Bantuan diselaraskan oleh Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR).

Menurut Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Othman Omar, kejayaan PMKR adalah hasil usaha semua pihak yang telah bertungkus lumus mengendalikan inisiatif tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Malah, pengagihan sejumlah besar barangan asas ini tidak mungkin dijayakan tanpa sumbangan pelbagai pihak yang sentiasa bermurah hati untuk turut membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette