Fenomena air laut pasang besar dijangka berlaku di Klang boleh mengundang risiko banjor.

KLANG – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memberi amaran awal kepada penduduk sekitar agar bersedia dan sentiasa peka dengan keadaan semasa alam sekeliling.

Ini berikutan bermula esok, 29 September hingga 2 Oktober ini dijangka berlaku fenomena air pasang besar yang kemungkinan mencetuskan risiko banjir.

Menurut info jawatankuasa itu, berdasarkan jadual air laut pasang besar di stesen Pelabung Klang, fenomena tersebut dijangka mencatatkan bacaan setinggi 5.7 meter.

Pada 29 September bersamaan Jumaat esok, iaitu jam 5.52 pagi paras air laut setinggi adalah 5.5 meter dan Sabtu 30 September paras air laut setinggi 5.7 meter pada jam 6.31 pagi.

Pada 1 Oktober pula, paras air laut tertinggi ialah 5.7 meter jam 7.07 pagi dan diikuti keesokan hari iaitu 2 Oktober paras air laut turun kepada 5.6 meter.

Justeru, beberapa agensi dan penguatkuasa kerajaan negeri telah diarahkan bersiap sedia iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Polis Daerah Klang Utara dan Klang Selatan.

Turut dalam keadaan bersiap sedia ialah JKMN Selangor, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Jabatan Kerja Raya Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Berdasarkan ramalan bacaan paras air laut tertinggi ini, orang ramai perlu sentiasa peka dan cakna serta bertindak segera jika menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette