Kejohanan e-Sport Fifa19 PS4 telah berlangsung di Uptown Puchong baru-baru ini.

PUCHONG – Kejohanan e-Sport Fifa19 PS4 telah berjaya menarik penyertaan seramai 64 peserta yang berlangsung di Uptown Puchong di sini baru-baru ini.

Kejohanan itu anjuran Mayfair Assets Sdn. Bhd. (Mayfair Assets) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta penaja seperti E-Sport Malaysia dan Games Bond.

Pengurus Acara, Mayfair Assets, Fakaruddin Awaludin berkata, pihaknya tidak menyangka menerima sambutan hebat kerana membuka tempoh penyertaan dalam masa dua minggu sahaja.

“Sebenarnya kami mendapat penyertaan lebih 64 peserta namun terpaksa mengambil kira tempoh permainan jika melibatkan peserta yang ramai.

“Apa yang membuat kami terkejut kerana pertama kali menganjurkan kejohanan ini dan ternyata e-sukan seperti Fifa 19 ini menjadi kegilaan anak muda.

“Justeru kami mahu menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan di sini dalam usaha merancakkan pelbagai aktiviti di Uptown Puchong,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Kejohanan e-Sport Fifa19 PS4 diadakan sempena sambutan Tahun Baru 2019 dalam usaha Uptown Puchong menarik lebih ramai pengunjung dengan menawarkan pelbagai aktiviti berfaedah.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM2,000 menjadi milik Muhammad Faid Mohd Said.

Dia membawa pulang hadiah RM1,000 dikuti Muhammad Akhmal Roslan sebagai naib juara manakala Rezaril Keiflin Keifli dan Amirul Abdullah Nazri di tempat ketiga dan keempat.

Peserta yang terlibat berusia seawal 12 tahun hingga 35 tahun dengan yuran penyertaan sebanyak RM20.

Sementara itu, Uptown Puchong yang diuruskan oleh Mayfair Assets telah beroperasi lebih dua tahun dan merupakan uptown pertama di negara ini yang berkonsep moden dan tersusun.

Ini kerana uptown itu berbumbung dan berhawa dingin bagi memberi kelesaan pengunjung membeli-belah atau menjamu selera tanpa perlu risau dengan keadaaan cuaca.

Ia dibuka seawal pukul 6 petang hingga 3 pagi setiap hari memberi pelbagai pilihan barangan industri kecil dan sederhana menerusi 200 unit kedai peniaga bumiputera. – MalaysiaGazette