Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang menggesa kerajaan menarik balik cadangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Pembangkang menegaskan, usul RUU itu telah pun dibentangkan di Parlimen sebelum ini, dan ditolak.

Bagaimanapun, katanya, usul itu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mendengar pandangan dari pihak polis dan juga orang ramai termasuk pakar perundangan.

“Saya dimaklumkan, semua pihak berkepentingan dirundingi dan difahamkan jawatankuasa ini telah turun ke negeri untuk mendengar pandangan dari semua pihak.

“Setelah kita membaca laporan daripada jawatankuasa ini dan mendapat maklumat pada rakan-rakan di dalamnya, ternyata ia sebagai ‘kosmetik dan lakonan semata-mata’.

“Jawatankuasa ini berunding dengan pihak berkepentingan bersama pakar perundangan Perlembagaan yang juga dipanggil untuk memberikan pandangan dan mereka tidak bersetuju, dengan berpandangan IPCMC ini bertentangan dengan perkara 140 dan 135 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, pihak kerajaan langsung tidak mempedulikan pandangan dari pihak berkepentingan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini.

Menurut Ismail Sabri, pihaknya berpandangan, sebelum perundangan diperketatkan, sebelum satu undang-undang khusus untuk polis ini, pihak lain telah pun banyak untuk memantaunya termasuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC).

“Sedangkan (EIAC) ini sahaja mampu untuk mengawal bukan sahaja anggota polis, tetapi juga 21 agensi penguatkuasa yang lain, tetapi kenapa pasukan keselamatan ini sahaja diperuntukan suruhanjaya khusus memantau pihak polis? Bukan sahaja dari segi disiplin, tapi soal jenayah dan sebagainya.

“Kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana hendak mempertingkatkan kebajikan dan keluarga mereka, bukan memikirkan pasal RUU IPCMC.

“Saya berpandangan sebelum perundangan diperkenalkan, sepatutnya kerajaan melihat kepada kebajikan anggota polis dan keluarganya terlebih dahulu,” ujarnya.

Katanya, beliau juga difahamkan di Sabah dan Sarawak, pondok serta rumah polis dalam keadaan yang kurang baik dan memerlukan penambahbaikan.

“Sebelum perkara lain dilakukan, kebajikan anggota polis mesti diutamakan. Lihat sahaja struktur pondok dan rumah polis di dua negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, berpandangan kira-kira 150,000 anggota polis yang bertugas telah mempertaruhkan masa dan nyawa untuk mempertahankan keselamatan negara dan rakyat.

Tetapi, ujar beliau, akhirnya balasan dari kerajaan telah memberikan tekanan kepada mereka. – MalaysiaGazette