Seorang pekerja mengangkat dan menyusun bawang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

MANILA – Filipina kini mengalami kekurangan bekalan bawang dan semua restoran terutamanya terjejas.

Menurut statistik rasmi, harga bawang di negara ini melonjak sekitar 700 peso (RM54.50) sekilogram bulan lepas.

Harga itu lebih tinggi daripada kos daging dan gaji minimum harian negara ini.

Seorang pengusaha kedai piza di Cebu berkata, dulu kedai itu membeli tiga hingga empat kilo bawang sehari.

Namun, sejak kebelakangan ini hanya mampu membeli setengah kilo sahaja.

Bawang adalah ramuan ruji dalam masakan Filipina.

Tetapi sejak kenaikan harga barang susulan lonjakan inflasi kepada paras tertinggi baharu pada bulan lalu, penggunaan bawang turut dicatu.

Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang juga setiausaha pertanian menyifatkan kenaikan harga makanan sebagai “keadaan kecemasan”.

Awal bulan ini Ferdinand meluluskan import bawang merah dan kuning dalam usaha untuk meningkatkan bekalan.

Pakar mengatakan, pembukaan semula ekonomi Filipina mendorong permintaan, manakala cuaca buruk telah menjejaskan pengeluaran makanan, termasuk bawang.

“Pada bulan Ogos, Jabatan Pertanian telah meramalkan potensi kekurangan tanaman akar.

Beberapa bulan kemudian, Filipina dilanda dua ribut kuat yang menyebabkan kerosakan tanaman yang besar,” kata Nicholas Mapa, Ahli Ekonomi Kanan di ING Bank.

Pada masa sama berlaku peningkatan ketara dalam permintaan apabila ekonomi pulih dengan mendadak.

Lonjakan harga bawang turut mendorong kenaikan harga makanan di gerai-gerai di Cebu, yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Sayuran bergoreng, daging dan makanan laut di sini, biasanya dihidangkan bersama sos pencicah bawang dan cuka.

Awal bulan ini, 10 anak kapal dari Philippine Airlines telah disiasat kerana cuba menyeludup hampir 40 kilogram bawang dan buah-buahan ke dalam beg bagasi.

Pegawai kastam kemudian berkata, mereka tidak akan menghadapi pertuduhan tetapi memberi amaran kepada pelancong supaya tidak membawa hasil tanaman tanpa permit. – Agensi