Foto: FB Aeril

KUALA LUMPUR – Setelah seorang pengguna Twitter, Azrulfiri Azimi meminta maaf kepada Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, pasangan pelakon dan usahawan itu kini ‘memburu’ enam lagi pemilik Twitter.

Aeril Zafril mendakwa pemilik akaun @lady_bugg11 (Ciky Nie), @BadBoy2662 (Joker), @ArwahMaklampir (ARwah#MakLampir) @1rham_1brahim (Irham_Anwar-Ibrahim), @afiannn (afiannur) dan @AnonlsAmuse (Dr. AnonlsAmuse) membuat fitnah terhadap beliau dan isteri.

“Sementara proses mendapatkan IP adresss korang sedang dibuat. Apa kata kalau korang benar buatlah tuduhan atau fitnah pada saya dengan sejelasnya dan report polis serta SPRM?

“Tapi jangan lupa bawa bukti yang boleh mendukung pertuduhan korang tu.

“Nak mudahkan kerja saya, kalau beranilah DM saya nama penuh dan alamat korang . Kalau boleh bagi nombor phone sekali,” ciap beliau di Twitter.

Aeril memberi tempoh 24 jam kepada kesemua pemilik Twitter berkenaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Beliau turut mendesak mereka untuk memadam hantaran terbabit.

“Tak sabar nak jumpa korang ni. Walaupun sepatutnya aku tak perlu layan sangat korang ni jika ditinjau dari sudut followers. Tapi aku layan juga untuk raikan kebiadaban korang.

“Korang nak aku buktikan kenyataan aku? No problem. Jumpa di mahkamah. Di dalam sana boleh sembang lebih sikit,” katanya dalam bebenang Twitter yang panjang hari ini.

Tambah beliau, tindakan yang bakal diambil adalah atas kapasiti peribadi dan isteri yang dipalit dengan tuduhan yang didakwa bersifat pembohongan dan fitnah.

Beliau menegaskan, tindakan yang diambil tidak mencermin atau mewakili mana-mana parti politik.

Seorang pengguna Twitter, Azrulfitri Azimi hari ini mengakui selama ini dia telah bersangka buruk terhadap Aeril dan Wawa serta terkhilaf kerana tidak memeriksa tuduhan yang dilakukannya itu.

Azrulfitri turut memaklumkan bahawa dia telah memadam ciapan yang dibuat pada Rabu.

“Sekali lagi, saya mohon maaf atas keterlanjuran kata-kata dan kekhilafan saya. Saya harap saudara Aeril dan isteri sudi sudi memaafkan saya.

“Saya doakan saudara Aeril dan isteri bahagia selalu, sentiasa dilimpahkan rezeki dan berada di bawah lindungannya,” ujarnya.

Aeril sebelum itu menerusi ciapannya menafikan fitnah yang dibuat bahawa pihaknya menerima bayaran daripada Perikatan Nasional (PN) bagi mempromosi parti tersebut semasa pilihan raya umum lepas. – MalaysiaGazette