Kenderaan yang membawa pasukan forensik polis tiba di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

PETALING JAYA – Polis meneruskan usaha mengesan petunjuk baharu bagi siasatan kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin dengan mengambil bukti dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari rumah mangsa.

Tiga anggota polis dari unit forensik PDRM kelihatan memasuki kawasan kediaman Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini kira-kira jam 4.15 petang.

Turut kelihatan ibu bapa kanak-kanak autism itu, iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan.

Bagaimanapun proses pengambilan sampel DNA dan bukti itu selesai kira-kira jam 5 petang tadi.

Terdahulu, dua ekor anjing pengesan (K9) dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA digerakkan ke sebuah stor milik salah seorang penduduk yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa.

Sebelum ini, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Idaman.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa. – MalaysiaGazette