NEW DELHI – Penganjur sebuah forum perniagaan India-China terpaksa membatalkan acara tersebut selepas pihak berkuasa India gagal mengeluarkan visa kepada delegasi China, laporan media di negara itu.

Forum Perniagaan Antarabangsa (IBLF) yang pada asalnya dijadual diadakan di New Delhi, Rabu dan Khamis ini terpaksa dibatalkan.

Perkara tersebut diumumkan di laman web IBLF.

“Disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak boleh dielakkan, kami telah dinasihatkan untuk menunda forum ini buat masa ini.

“Kami ingin memohon maaf di atas masalah yang dihadapi, kami berharap dapat mengumumkan tarikh baharu tidak lama lagi,” kata pihak penganjur dalam satu kenyataan.

Menurut akhbar The Indian Express, penganjur terpaksa mengambil keputusan berkenaan kerana kerajaan India tidak meluluskan permohonan visa oleh 70 orang delegasi China, Jumaat lepas.

Ini menyebabkan mereka tidak boleh memasuki India sebelum forum berlangsung.

Delegasi China telah membuat permohonan visa berminggu-minggu yang lalu bagaimanapun Kementerian Luar India memberitahu pihak pengajur pada Jumaat lalu bahawa mereka tidak boleh mengeluarkan visa tanpa kelulusan Kementerian Dalam Negeri, kata laporan berkenaan yang memetik sumber.

Pembatalan tersebut hanya beberapa hari selepas India menarik diri daripada Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang didokong China.- Agensi