KUALA LUMPUR – Fundamental ekonomi negara yang kukuh dan dasar mesra perniagaan menyokong kepada pertumbuhan dalam pelaburan asing di Malaysia.

Buktinya, Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelabur asing dalam pelbagai sektor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini negara ini telah mencatatkan pelaburan RM35.3 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menikmati permulaan tahun yang memberangsangkan dengan merekodkan pertumbuhan 77.6 peratus.

“Pelaburan ini datangnya dari Singapura, Jepun, Switzerland, Belanda dan Amerika Syarikat,” kata beliau berucap pada majlis pelancaran Automechanika Kuala Lumpur 2017.

Menurut Ka Siong, sektor sub-pembuatan bagi kenderaan motor dan peralatan pengangkutan mencapai pertumbuhan dua digit, masing-masing 23.1 peratus dan 20.5 peratus untuk mesin dan perkakasan.

Jelasnya, peningakatan pengeluaran alat ganti dan aksesori bagi kenderaan motor dan motosikal termasuk barangan elektronik pengguna menyumbang kepada keseluruhan prestasi. – MalaysiaGazette