Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menurunkan tandatangan di baju seorang penyokong Pakatan Harapan pada majlis Malam Kebudayaan India sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Kerajaan Pakatan Harapan mengulangi pendiriannya tidak mustahil untuk melaksanakan gaji minima RM1,500 sekiranya keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kembali dalam keadaan terbaik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, setakat ini hanya gaji minima RM1,050 dapat dilaksanakan kerajaan semasa selepas mengambil kira pelbagai faktor.

“Memang kita janjikan gaji minima RM1,500 dalam manifesto PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU14).

“Tetapi selepas memikirkan dan mempertimbangkan kedudukan perbendaharaan sama ada mampu atau tidak termasuk kedudukan hutang negara yang perlu dilangsaikan, kita membuat keputusan juga.

“Hasilnya kami naikkan sekurang-kurangnya minima RM1,050 yang boleh dilaksanakan buat masa sekarang,” katanya semasa berucap dalam pertemuan bersama warga pekerja Port Dickson di Bilik Gerakan Utama PH Pilihan Raya Kecil Port Dickson di sini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun serta wakil Persatuan Pengusaha Perindustrian Makanan Ringan Port Dickson.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan mengambil sikap terlepas pandang dalam soal gaji minima yang dijanjikan dalam manifesto.

Katanya, kerajaan sememangnya berusaha mencari segala kaedah yang mungkin untuk menemui jalan melaksanakan gaji minima yang dijanjikan selain RM1,050 yang diumumkan ketika ini mengurangkan sedikit beban pekerja.

“Bagaimanapun perdana menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) menekankan bahawa ia bergantung kepada kuasa membeli dan jika menaikkan gaji majikan pun tidak adan kesan juga.

“Malah harga barang juga masih naik walaupun harga beberapa barang keperluan seperti gula sudah diturunkan kerajaan antaranya tek tarik masih harga naik.

“Sebab itu kita memikirkan bagaimana hendak menangani masalah ini dengan pendekatan holistik,” tegasnya.

Namun tegas beliau, kerajaan tidak akan membiarkan begitu sahaja soal gaji minimum itu.

“Kita terus mengadakan perbincangan mengenai isu (gaji minima).

“Jika keadaan ekonomi, hutang negara dan kos sara hidup semuanya dalam keadaan baik seperti yang dikehendaki kerajaan dan rakyat di masa depan, sudah pasti gaji minimum (RM1500) pasti akan dipertimbangkan (laksana),” ujar beliau lagi.-MalaysiaGazette