Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar (tengah). Foto FB KDA FC.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar memohon maaf kepada ketua jurulatih pasukan itu,  Nafuzi Zain, barisan kejurulatihan, semua pegawai dan pemain serta ahli keluarga mereka atas masalah kewangan atau lebih tepat masalah aliran tunai sedang dihadapi.

Beliau berkata, keadaan itu telah menyebabkan masalah tunggakan gaji dan mengakibatkan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

Selain itu pasukan mengalami tekanan sama ada tekanan emosi atau kewangan disebabkan ketidaklancaran urusan kewangan.

Pada masa sama, Mohd. Daud juga turut memohon maaf kepada semua penyokong dan peminat KDA FC atas segala kelemahan saya yang mengakibatkan persembahan yang kurang mengujakan.

“Sebagai pemilik, saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas semua masalah kewangan yang dihadapi Kedah Darul Aman FC. Bagi saya, pengurusan sebuah kelab bola yang diswastakan sepenuhnya sejak Ogos 2022 adalah tidak ubah seperti menguruskan sebuah syarikat.

“Kadang-kadang, sebahagian percaturan dan strategi pendanaan dan pemasaran tidak berlaku seperti yang dirancangkan.

“Sumber pendapatan hanyalah daripada sumber yang terhad dalam konteks sumbangan pemegang saham dan juga penajaan serta hasil penjualan tiket dan merchandise.

“Tanpa sokongan penuh pihak kerajaan negeri atau separa kerajaan, ianya amat mencabar dalam konteks industri bola sepak profesional Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan laman sosial kelab itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Daud amat sayang KDA FC dan mahu terus memberi komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan kelab itu.

“Saya telah bekerja keras dan akan terus bekerja keras untuk memastikan saluran oksigen kepada KDA FC dapat dipulihkan.

“Saya ingin sebut di sini bahawa saluran oksigen yang diperlukan di saat ini adalah bekalan dana kewangan yang mencukupi. Perkara-perkara lain walaupun penting adalah perkara kedua atau ketiga dalam hirarki keperluan mendesak.

“Masalah kewangan sebuah pasukan bola sepak adalah masalah dalaman dalam keluarga kelab tersebut. Kalau boleh, biarlah ia menjadi isu dalaman seperti mana juga isu dan masalah sebuah keluarga dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Mohd. Daud turut berkongsi masalah kelab itu yang bermula selepas beberapa bulan di musim ini di mana beberapa perancangan dan strategi pendanaan, penajaan dan pemasaran tidak terlaksana seperti yang telah dirancang.

Katanya, Ini telah menyebabkan aliran tunai yang tersangkut seterusnya menyebabkan masalah gaji tertunggak.

“Saya telah bekerja keras dan masih bekerja keras untuk mencari pilihan dan pendekatan baharu bagi memulihkan masalah aliran tunai iaitu hasil pendapatan yang masuk setiap bulan kurang daripada jumlah perbelanjaan bulanan.

“Di saat ini, sebagai rekod semua pegawai dan pemain KDA FC telah dibayar gaji mereka sehingga bulan Julai 2023. Perancangan sedang dibuat untuk melunaskan gaji bulan Ogos sebelum berakhir minggu hadapan iaitu sebelum 7 November 2023.

“Insya-Allah, gaji bulan September 2023 akan cuba dijelaskan juga di bulan November 2023 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette