JOHOR BAHRU – Sasaran kedai buku Gallery Bookstore Sdn Bhd. Untuk membuka 10 rangkaian kedainya semakin menjadi kenyataan apabila cawangan kelapannya dibuka dengan rasminya di pasaraya AEON, Bandar Dato Onn, Johor Bahru semalam.

“Kami sasarkan 10 cawangan kedai buku Gallery Bookstore akan dibuka sebelum berakhirnya tahun 2017 dan kami akan pastikan sasaran tersebut dapat dijadikan realiti.

“Selepas di Johor Bahru, Gallery Bookstore akan dibuka di Parit Raja, Batu Pahat minggu hadapan untuk cawangan yang ke sembilan dan seterusnya di Taiping pada bulan Oktober untuk melengkapkan apa yang kami sasarkan,” kata Pengurus Besar Gallery Bookstore Sdn Bhd, Zafri Hassan pada sidang media sempena pembukaan kedai ke lapan di pasaraya AEON semalam.

Menurut Zafri, pembukaan cawangan di Johor Bahru mampu memenuhi kehendak orang ramai terutama pelanggan dari negeri ini dan juga warga Singapura.

“Kami yakin apa yang sediakan di dalam Gallery Bookstore tidak akan mengecewakan pelanggan apa lagi dengan susun atur buku yang sangat kemas dan menarik serta mudah dicapai.

“Selain tenaga kerja yang sentiasa ceria, di kedai ini sahaja terdapat lebih 45,000 judul bahan bacaan yang pastinya dapat memenuhi selera orang ramai tidak termasuk alat tulis yang dijual pada harga amat berpatutan.

“Cawangan di sini juga merupakan yang paling besar berbanding cawangan-cawangan lain,” katanya.

Jelas Zafri, kejayaan Gallery Bookstore untuk beroperasi di dalam pasaraya besar seperti AEON dapat meningkatkan lagi skop pesaran sedia ada dan mampu mengukuhkan jenama Gallery Bookstore sendiri.

“Kami masih baharu dalam dunia buku dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari untuk berdiri seiring dengan syarikat yang telah lama berada dalam industri ini.

“Bukanlah niat kami untuk bersaing dengan ‘orang lama’ dalam industri tetapi cukuplah kalau kami dikenali dan diterima orang ramai,” ujarnya.

Bertemakan “Kedai Buku Komuniti Anda’, Gallery Bookstore telah pun beroperasi di tujuh cawangan bermula dengan yang pertama di Masjid Tanah, Melaka, Bangi, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Kangsar, Alor Setar, Arau dan Bertam, Pualu Pinang.

Sebagai menghargai sokongan pelanggan, Gallery Bookstore turut memperkenalkan Kad Keahlian Eksklusif yang dilancarkan pada Mei lalu.

Kad keahlian bernilai RM10 ini boleh digunakan selama dua tahun dan pemiliknya bakal menikmati diskaun pembelian dari 10 hingga 40 peratus. – MalaysiaGazette