Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mengutuk insiden provokasi dan kekecohan yang berlaku dalam program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, petang semalam.

Sambil menyifatkan perbuatan itu melanggar peraturan dan norma demokrasi negara, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, jika pun ada pihak yang mahu berhentikan ceramah atau dialog, hendaklah datang dari pihak berkuasa, bukan orang awam.

“Insiden provokasi dan kekecohan petang semalam yang menampilkan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah suatu perkara yang perlu dikutuk kerana melanggar peraturan dan norma demokrasi negara.

“Himpunan dan program di Malaysia biasanya berlangsung secara aman dan tenteram,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas program Nothing To Hide 2.0 terpaksa dihentikan serta-merta akibat keganasan yang berlaku ketika sesi soal jawab bersama Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kekecohan bermula ketika seorang peserta program bertanya soalan berkenaan tragedi Memali, secara tiba-tiba kelihatan kasut, botol air dan kerusi dibaling ke arah Tun Mahathir.

Suar juga turut dibaling ke arah penonton yang lain, selain laungan ‘diamlah Kutty’ turut kedengaran.

Menurut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, lebih membimbangkan jika peristiwa itu dirancang oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan dan akhirnya menggagalkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ini dakwanya, memandangkan kedudukan Barisan Nasional (BN) begitu cemas sekarang ini di atas sambutan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan juga sokongan rakyat kepada Dr. Mahathir yang menjelaskan segala skandal dan penyelewengan berlaku di Malaysia.

“Oleh itu, kita meminta pihak keselamatan mengambil tindakan segera supaya rakyat kembali yakin kepada sistem demokrasi, sekali gus bebas membuat pilihan kepada kerajaan yang mereka kehendaki memerintah selepas PRU14 nanti.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor melahirkan rasa kesal dengan insiden itu.

Menurut Ketuanya, Afzainizam Rahman, insiden berkenaan jelas menunjukkan suara PH semakin digeruni musuh politiknya.

“Reaksi terdesak pihak tertentu sehingga terpaksa bertindak biadap adalah bukti kemaraan PH ke Putrajaya semakin jelas,” dakwanya. – MalaysiaGazette