Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara kedua belah pihak iaitu antara Gansu dan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Jika Beijing, Guangzhou dan Xian menjadi pilihan  rakyat Malaysia sebelum ini, kini mereka perlu meletakkan nama Gansu sebagai destinasi baharu yang bakal dilawati di China selepas ini.

Gansu terletak di Utara  China yang merupakan gabungan antara tanah tinggi Tibet dan Monggolia dan antara destinasi uniknya ialah Yellow River yang mana ia merupakan laluan Sungai Yangtze yang terletak di daerah Baiyin di negeri berkenaan.

Lebih menarik, ia juga merupakan  tapak pertama untuk laluan ke Tembok Besar China dan faktor ini bakal menawarkan pengembaraan mengujakan buat si pengembara.

Menurut Pengarah Jabatan Pelancongan & Kebudayaan Antarabangsa Hong Kong, Macau, Taiwan yang bercawangan di  Gansu, China,  Sun Sen, terdapat sebuah daerah di negeri itu yang dikenali sebagai Mekah kecil.

“Gansu merupakan negeri mesra muslim kerana terdapat sebuah daerah di negeri ini , terdapat ramai komuniti Islam yang akan membolehkan rakyat Malaysia khususnya beragama Islamdapat  menikmati makanan tanpa sebarang masalah dan berkunjung ke sebuah masjid di situ.

“Pelancong muslim tidak perlu risau mengenai aspek  makanan dan minuman di sini kerana jabatannya turut memantau tahap kebersihan dan pengesahan halal di premis yang menyediakan menu halal kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Mempromosikan Kebudayaan dan Perlancongan Gansu, China di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

Hubungan dua hala antara Malaysia dengan Gansu bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara kedua belah pihak iaitu antara Gansu dan Malaysia bagi mengerat dan mengukuhkan hubungan bagi mempromosikan destinasi pelancongan ke dua buah destinasi tersebut.

Majlis berkenaan yang bertemakan, ‘Silk Road in Symphony, Gansu in Harmony’ bersesuaian dengan negeri tersebut yang memiliki gabungan  pembangunan, kebudayaan serta menjadi jalan penghubung Koridor Perdagangan, ketenteraan dan mempunyai sejarah perubahan ketemadunan yang hebat.

Majlis tersebut  turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia &Afrika), Tourism Malaysia, Chan Hon Mun.

Gansu memiliki  keluasan  454,000 km persegi serta memiliki populasi lebih daripada 26 juta penduduk.

Negeri tersebut mengalami iklim empat musim itu sesuai dilawati pada bila-bila masa dan ia menawarkan  pelbagai kawasan yang menarik untuk dikunjungi sama ada di utara, selatan, timur dan barat Gansu.

Ia juga kaya dengan keindahan kebudayaan dan sejarah untuk ditonjolkan kepada kumpulan pelancong.

Selain itu, Hon Mun menjelaskan, pihaknya berbangga kerana Kuala Lumpur dipilih oleh pihak berkuasa pelancongan di Gansu, China  untuk mempromosikan produk pelancongan dan kebudayaan mereka.

“Ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Gansu bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang berlangsung kini, yang mana kami akan mengambil peluang ini mempromosikan Malaysia dalam kalangan rakyat dari negeri China,” katanya.

Gansu terletak di Utara China yang merupakan gabungan antara tanah tinggi Tibet dan Monggolia dan antara destinasi uniknya ialah Yellow River.

Tambah Hon Mun, kerjasama ini juga akan dapat meningkatkan lagi kedatangan pelancong di dua buah negara dan selain itu, ia bakal membina satu platform yang menguntungkan dalam industri pelancongan untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Sun Sen memaklumkan, sebagai permulaan kerjasama antara dua negara, pihaknya akan menawarkan beberapa pakej menarik untuk dipilih oleh ejen pelancongan Malaysia melancong ke Gansu.

“Pada peringkat awal, ini akan menarik minat pelancong di Malaysia datang ke Gansu dan kami berharap kerjasama ini terus berpanjangan dalam jangka masa panjang,” terangnya. – MalaysiaGazette