Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mencadangkan empat perkara kepada Kementerian Pendidikan  (KPM) dalam menyelesaikan isu beg sekolah berat yang dihadapi murid sekolah.

Empat perkara itu adalah bersedia untuk merombak sukatan pelajaran yang lebih mesra pendigitalan pendidikan bagi meminimumkan penggunaan buku teks fizikal dan memperbanyakkan buku teks dalam bentuk digital atau e-book.

Dua lagi perkara adalah dengan memudahkan urusan mengakses buku teks digital yang akan digunakan oleh murid-murid termasuk di kawasan luar bandar dan memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan PIBG untuk membuat keputusan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing.

Menerusi kenyataan bersama, jawatankuasa tersebut memaklumkan, cadangan itu diharap dapat dipertimbangkan dan KPM perlu bertindak segera sebelum menjelangh pembukaan sesi persekolahan 2022/2023.

“JKPPH mendapati isu beg berat murid sekolah yang telah dibangkitkan hampir sebulan lalu, masih belum dijawab oleh KPM.

“Meskipun banyak pihak termasuk pakar-pakar pendidikan dan kesihatan yang memberikan pandangan dan cadangan agar langkah segera diambil oleh KPM, malangnya, KPM masih belum mengambil sebarang tindakan,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, JKPPH mengambil berat isu ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada murid-murid dalam jangka masa panjang seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar kesihatan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu. – MalaysiaGazette