KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia gembira sembilan rakyat Malaysia yang dilarang meninggalkan Korea Utara telah dibenarkan pulang.

Dalam kenyataan di sini, kedutaan itu berkata, larangan yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia tidak boleh diterima kerana melanggar Konvensyen Vienna.

Amerika Syarikat menyokong hasrat Malaysia untuk terus menyiasat kes pembunuhan Kim Jong-nam yang berlaku di negara ini.

Katanya, semua langkah mungkin perlu diambil untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan

Seramai sembilan warga Malaysia yang dilarang meninggalkan Pyongyang telah selamat tiba di tanah air awal pagi ini.

Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia yang membawa sembilan warga Malaysia itu berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam tadi.

Hubungan Malaysia dan Pyongyang tegang selepas kes pembunuhan Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu ketika abang kepada pemimpin Korea Utara itu sedang menunggu penerbangan ke Macau.

Jong-nam dibunuh dengan agen saraf VX selepas dua wanita menyerkup mukanya. – MalaysiaGazette