Foto Amelia Rahah Daniyar yang dikongsi oleh Noryana Najwa di media sosial.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah dikurniakan cucu perempuan pertama.

Anak perempuan Najib, Noryana Najwa berkongsi berita gembira tersebut di media sosial.

Kelahiran Amelia Rahah Daniyar hari ini merupakan tempoh genap setahun Najib dihukum penjara.

Noryana Najwa berkata, kehadiran Amelia Rahah Daniyar seolah-olah mahu datuknya untuk tidak bersedih.

“Alhamdulillah dengan rasa syukur kepada Allah kami sekeluarga telah menyambut kelahiran anak ketiga kami pada hari yang penuh dengan nostalgia.

“Seolah-olah cucu perempuan pertama Bossku nak beritahu atoknya, I don’t want you to be upset today. I know grandpa is longing to hold you in his loving arms, my precious girl (Saya tak nak awak susah hati hari ini. Saya tahu atuk rindu untuk memeluk awak dalam pelukan sayangnya, anak gadis saya yang berharga).

“Kami sentiasa berdoa agar Allah segera mempertemukan kami. Amin Ya Rabbal Al-Amin,” kata Noryana Najwa.

Sebelum itu, Nooryana Najwa dalam laman sosial meluahkan perasaan mendakwa setahun bapanya di dalam Penjara Kajang adalah tempoh kezaliman yang perlu dilalui bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Dengan memuat naik poster tertera ‘Genap Setahun Najib Terus Dizalimi’, Exco Pergerakan Puteri UMNO itu menambah, dia berikrar untuk sentiasa berada di sisi bapanya dan bersama-sama meneruskan perjuangan dalam mendapatkan keadilan.

“Sudah genap setahun sejak DSN (Datuk Seri Najib) dipenjarakan. Atas segala suka duka, sakit hati serta kekecewaan tahun lalu.

“Saya masih kagum dengan komitmen anda untuk sentiasa melakukan perkara yang betul dan memilih jalan yang mulia dalam dunia penipuan dan ketidakadilan yang kompleks,” katanya.- MalaysiaGazette