Che Abdullah (kiri) menyampaikan geran kepada Agropreneur Muda di Penang Golf Resort, Kepala Batas di sini hari ini.

KEPALA BATAS – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) optimis dapat menarik golongan muda ‘meremajakan’ sektor pertanian menerusi program bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia terbukti apabila MAFI berjaya meningkatkan penglibatan anak muda pada tahun lalu berbanding sebelumnya.

Che Abdullah (kiri) menyampaikan geran kepada Agropreneur Muda di Penang Golf Resort, Kepala Batas di sini hari ini.

Kata beliau, seramai 1,149 individu yang terdiri daripda  golongan muda telah mendapat bantuan bantuan GAM berjumlah RM21.7 juta pada 2020.

“Ia sekaligus menunjukkan perbezaan ketara apabila hanya 750 Agropreneur muda mendapat bantuan geran pada tahun 2019.

“Saya yakin jumlah itu akan menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor agromakanan yang merangkumi semua rantaian bidang seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.

“Bukan setakat itu, latihan dan kursus teknikal termasuk penyediaan perkhidmatan sokongan yang disediakan kerajaan sememangnya dapat menarik minat golongan itu untuk menyertai pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Agropreneur Muda di Penang Golf Resort di sini hari ini.

Tambah Che Abdullah, meremajakan sektor pertanian bukan bermaksud mengenepikan golongan tua tetapi bagi meneruskan kesinambungan pertanian dengan teknologi terkini yang mampu diterajui anak muda.

“Kemasukan anak-anak muda ini sebenarnya boleh membantu hasrat kementerian meningkatkan pengeluaran makanan. Kita tahu tanah semakin kecil sedangkan rakyat kian bertambah sekali gus menyebabkan keperluan makanan meningkat.

“Cabaran kerajaan dalam sektor pertanian dalam suasana kekurangan tanah menyebakan kita tidak ada pilihan melainkan menggunakan teknologi moden,” ujarnya.

Untuk rekod, MAFI melalui Unit Agropreneur Muda menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada golongan berkenaan berumur 40 tahun ke bawah seperti GAM yang memperuntukkan bantuan sehingga RM500,000 melalui Agrobank yang dikenali sebagai Agro-YES. – MalaysiaGazette