Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengesyorkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi kerajaan, pertubuhan peladang, dan koperasi terlibat dalam penternakan ayam bagi mengurangkan kebergantungan kepada syarikat-syarikat besar pengeluaran ayam.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengkaji daripada segi bantuan kepada pihak yang terlibat.

“Ini merupakan sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna),” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan menerusi KPDNHEP menetapkan harga siling ayam adalah RM8.90 per kilogram, namun ada individu-individu yang mengambil kesempatan dan bertindak melampaui batas apabila harga ayam sekilogram dijual dengan harga RM9.50 mahupun RM10.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengembalikan semula program Jihad Memerangi Orang Tengah yang pernah diperkenalkan beliau pada 2014.

“Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” katanya.

Dalam mesyuarat sama, Perdana Menteri turut menerima pandangan daripada jemaah menteri berkaitan penanaman jagung dan hampas isi rung kelapa sawit sebagai alternatif kepada makanan ayam.

Tambah beliau, Kabinet bersetuju untuk meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan GLC untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang bagi membolehkan pandangan tersebut dilaksanakan.

“MAFI dan KPDNHEP telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya,” jelas beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan Kabinet bersetuju supaya permit import (AP) gandum dibatalkan dan semua kementerian diminta menyenaraikan AP yang boleh dimansuhkan bagi menjaga kepentingan rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette