Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – DAP dan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak senang duduk dengan sokongan rakyat yang semakin kuat kepada Barisan Nasional (BN), kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Beliau berkata, rakyat sudah sedar dan semakin bijak dalam membuat keputusan untuk memilih BN berbanding PH yang bagi mereka hanya pandai berjanji, tetapi apabila diberi kuasa, gagal berbuat demikian.

Menjawab kenyataan pemimpin PH terhadap UMNO dan BN, beliau menyatakan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo yang belum bangun dari tidur dan masih bermimpi.

“Puak DAP-PH makin tak senang duduk dengan sokongan rakyat yang makin kuat terhadap BN.

“Saya rasa Gobind Singh yang masih tak bangun lagi dari mimpi masa jadi pembangkang. Sebab itu dah jadi kerajaan pun berperangai macam pembangkang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Semalam, PH memberi amaran kepada pembangkang UMNO dan BN supaya tidak bermimpi kerajaan baharu yang terbentuk 18 bulan lalu tumbang.

Gobind dilaporkan berkata, niat pembangkang tidak akan berlaku, sebaliknya kerajaan PH akan bertambah kukuh dan utuh untuk lima tahun dengan sokongan kuat rakyat.

Beliau membidas niat kotor seorang pemimpin BN yang mendakwa komponen parti itu sedang menunggu kerajaan Perak tumbang bagi membolehkannya membentuk kerajaan.

Menurut Dr. Najmil Faiz, sampai sekarang DAP menjadi parti paling dominan dan radikal dalam kerajaan PH untuk memansuhkan segala akta kawalan.

Katanya, kerajaan PH perlu sedar rakyat kini bijak dan mempunyai tahap kesedaran politik yang tinggi.

“Bukan macam PRU lepas, dengan guna penipuan, fitnah dan retorik politik membolehkan PH memenangi pilihan raya itu.

“Bersedialah PH untuk mencatat sejarah sebagai kerajaan sepenggal di Malaysia yang telah dibuang rakyat kerana merosakkan institusi pemerintahan negara.

“Rakyat Tanjung Piai hantar mesej ke Parlimen bahawa mereka tolak kerajaan PH dan akan pastikan calon BN menang,” katanya. – MalaysiaGazette