Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo bersama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan menggesa agar Dewan Rakyat memanggil Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) ke Dewan Rakyat.

Gobind Singh Deo (PH-Damansara) berkata, Dewan Rakyat mempunyai undang-undang untuk melindungi ahli-ahlinya daripada sebarang gangguan daripada pihak luar.

“Bukankah Dewan Rakyat punya kuasa untuk minta supaya Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu datang ke hadapan bagi kita maklumat apa yang berlaku.

“Kemudian kalau ada pihak yang dinamakan kita panggil ke Dewan Rakyat tanya kepada mereka apa yang berlaku sebenarnya kalau benar ada dakwaan itu benar, kita akan ambil tindakan.

“Kita kena cari jalan untuk hentikan perkara ini, tidak kira ugutan itu datang daripada pihak mana, dulu kerajaan di bawah pimpinan PN kira dengar masalah yang sama. Dalam kerajaan ini juga saya dengar perkara yang sama,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind merujuk kepada kenyataan Iskandar Dzulkarnain yang membuat keputusan untuk menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa Khamis lalu.

Menurut wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pendekatan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Justeru, kata Gobind, Dewan Rakyat perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang memantau perkembangan semua 222 Ahli Parlimen yang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya minta kerajaan lihat mekanisma dimana kita patut wujud jawatankuasa dimana kita boleh pantau tingkah laku kita sebagai ahli Parlimen tidak tergugat. Kita adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili parti tertentu kita bebas nak laksanakan tugas kita.

“Kita perlu ambil tindakan untuk kita elakkan perkara sama berlaku dalam masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette