BEIJING – Goldman Sachs Group Inc berusaha menyelesaikan masalahnya dengan urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan membantu mengembalikan semula wang kepada Malaysia

“Kami sedang memberi tumpuan berhubung perkara ini dan mendapatkan semula wang rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Goldman Sachs, John Waldron dalam temubual televisyen Bloomberg pada hari Rabu.

Bulan lepas, Malaysia telah mendakwa pekerja Goldman Sachs kerana terlibat dalam penipuan 1MDB, memfailkan dakwaan jenayah terhadap lebih daripada 12 orang bekas eksekutif kanan dan masih bekerja berpangkalan di seluruh dunia.

Agensi penguatkuasaan undang-undang di Amerika Syarikat dan Singapura juga sedang menjejaki wang berbilion-bilion dolar yang didakwa terlibat dalam kes penipuan itu.

Waldron berkata, sukar untuk memberi tempoh masa yang sesuai untuk menyelesaikan kes 1MDB.

Malah, beliau enggan memberi komen mengenai prospek penyelesaian dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Goldman Sachs tidak menghadapi apa-apa sekatan terhadap perniagaannya di Amerika Syarikat disebabkan kes 1MDB, kata Waldron.

Sebanyak 17 kakitangan dan bekas pegawai yang didakwa di Malaysia terdiri daripada tiga pengarah unit Goldman Sachs yang telah dituduh mengelirukan pelabur ketika mengatur jualan bon bernilai AS$ 6.5 bilion untuk dana pelaburan 1MDB pada 2012 dan 2013.

Amerika Syarikat telah mendakwa dua bekas bank di Goldman Sachs, yang menerima yuran bernilai AS$ 600 juta untuk penjualan bon. – MalaysiaGazette