Anwar Azmin
Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam pada 18 November 2018.

SEMUA orang tertanya-tanya di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Rakyat pasti mahu tahu lebih-lebih lagi setelah beliau dicanangkan sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH).

Dalam program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KLS) di Petaling Jaya malam tadi, Presiden PKR itu membayangkan beliau akan bertanding di kerusi yang disandang oleh ‘pengkhianat’.

Namun, beliau tidak menyatakan lebih lanjut kerusi mana yang dimaksudkannya itu atau siapa yang dituduhnya sebagai pengkhianat.

Yang pasti, bukan kerusi Parlimen Port Dickson kerana tidak mungkin Anwar mengkhianati dirinya sendiri.

Katakan istilah ‘pengkhianat’ itu merujuk kepada bekas-bekas Ahli Parlimen PKR yang keluar parti beramai-ramai selepas peristiwa Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan sendirinya selepas 22 bulan berkuasa.

Secara keseluruhan, terdapat 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang berbuat demikian termasuk bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan bekas Ketua Wanita, Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang).

Mereka yang lain ialah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar (Segamat), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Kita boleh ketepikan dahulu Selangau, Saratok, Puncak Borneo dan Ranau kerana kebarangkalian untuk Anwar bertanding di Sabah dan Sarawak adalah sangat rendah.

Lagipun, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Sarawak membuktikan pengaruh Anwar di Borneo tidak sehebat seperti di Semenanjung.

Kerusi Parlimen Gombak, Ampang, Bandar Tun Razak, Nibong Tebal dan Indera Mahkota dikenal pasti sebagai kubu kuat PKR sejak PRU-12.

Batu Pahat dirampas dari Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 manakala PKR hanya sempat bertapak di Segamat selama 22 bulan selepas PRU-14.

Melihat kepada prestasi buruk PKR pada PRN Johor, Anwar mungkin berfikir banyak kali kalau mahu bertanding di Batu Pahat atau Segamat.

Daripada lima kerusi yang tinggal, PKR dilihat berada pada kedudukan terkuat di Gombak dan Ampang.

Salah satu faktor adalah kedua-dua kawasan Parlimen itu terletak di Selangor iaitu satu-satunya negeri yang pentadbirannya dipimpin oleh Menteri Besar dari PKR.

Selain itu, faktor ‘menebus maruah’ boleh dijadikan asas utama bagi Anwar untuk mengembalikan Gombak dan Ampang ke tangan PKR.

Tindakan Azmin dan Zuraida meninggalkan PKR dianggap sebagai tamparan yang amat pedih bagi parti itu.

Kedua-dua bekas pemimpin kanan PKR itu pergi ketika Pakatan Harapan (PH) sedang berhempas-pulas untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan secara mengejut.

Sudah tentu semua pemimpin dan ahli PKR tidak dapat melupakan pengkhianatan itu. Sekiranya Azmin dan Zuraida mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU-15, mereka perlu ‘diajar’.

Tidak dinafikan, Azmin dan Zuraida mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan masing-masing. Mereka sudah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal.

Hanya Anwar yang dilihat mempunyai wibawa yang cukup besar untuk menundukkan Azmin atau Zuraida sekali gus mengembalikan maruah PKR yang tercalar.

PKR terutamanya pasti mahu melihat kerjaya politik Azmin dan Zuraida yang pernah menjadi orang kuat Anwar berakhir selepas PRU-15.

Walau bagaimanapun, Anwar hanya boleh bertanding di satu kerusi Parlimen sahaja. Gombak, Ampang atau kawasan lain? Anwar sahaja yang ada jawapannya. – MalaysiaGazette