Kawasan persekitaran penginapan khemah yang dikelilingi kehijauan dan mendamaikan.

KUALA LUMPUR – Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) selama kira-kira tiga bulan, pemilik Gopeng Glamping Park (GGP), Mohd Nor Arif Mohd Azmi berada di kampungnya yang terletak di Bentong, Pahang.

Beliau yang mengusahakan GGP sejak Oktober 2018 di Gopeng, Perak tidak menyangka ‘perintah berkurung’ yang dikenakan terhadap rakyat negara ini berlanjutan sebegitu lama.

Di GGP, sebanyak 13 pekerjanya ‘terperangkap’ dalam persekitaran yang menghijau di tepian sungai yang mengalir jernih. Ketika itu, wang syarikat masih berbaki kira-kira RM52,000.

Sebaik sahaja syarat pergerakan dalam PKP dilonggarkan dan sempadan negeri mula dibuka untuk direntasi, tanpa berlengah Mohd Nor Arif terus memandu meredah Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur menuju ke Gopeng, Perak pada 1 Jun lalu.

Perkara pertama yang dilakukannya ialah meninjau kawasan sekitar penginapan khemah dan bertanya khabar kakitangan yang setia menanti. Selepas itu, ayah kepada tiga cahaya mata itu mula menyemak akaun syarikat.

Mohd Nor Arif Mohd Azmi (kiri) dan adiknya, Mohd Nor Azim menunjukkan pizza yang baru dikeluarkan dari dapur kayu api di Gopeng Glamping Park, Gopeng, Perak.

Tentunya untuk membuka semula perniagaan yang terhenti selama tiga bulan menuntut sejumlah wang yang banyak bagi pelbagai tujuan termasuk membeli barangan mentah untuk kafe yang ‘tidak berasap’ sejak beberapa bulan, mempromosi pakej percutian pasca PKP dan lain-lain.

“Saya tengok baki yang ada cuma RM32 sahaja. Terduduk saya dibuatnya. Memang saya tahu, duit dalam akaun mengalir keluar sahaja tanpa henti, manakala duit masuk pula tiada langsung ekoran PKP yang mengehadkan pergerakan orang ramai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

GGP menawarkan pakej percutian menarik melibatkan penginapan di dalam khemah, aktiviti air seperti berakit arus deras, abseiling air terjun, lawatan ke kampung Orang Asli, mandi-manda di sungai yang terletak di sebelah kawasan perkhemahan, berbasikal mengelilingi kampung atau boleh  sahaja meneroka Gua Tempurung.

Kesemua aktiviti itu boleh diselitkan dalam pakej percutian GGP.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Arif berkata, antara faktor yang menyebabkan duit syarikat tinggal RM32 adalah beliau tetap membayar gaji penuh kepada 13 kakitangannya yang berada di GGP sepanjang PKP dan PKPB, selain membayar balik deposit pelanggan yang terpaksa membatalkan tempahan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

“Saya tak potong langsung gaji pekerja. Mereka berhak menerimanya dan menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan kebajikan pekerja terus terjaga sepanjang PKP,” tambahnya.

Katanya, sepanjang tempoh PKP dan PKPB, kesemua pekerjanya dipantau oleh adiknya yang bertindak sebagai pengurus kem.

Untuk bangkit semula bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi, orang ramai terpaksa berjimat demi kelangsungan hidup.

Basikal disediakan untuk pengunjung yang menginap bagi aktiviti berbasikal mengelilingi kampung berdekatan.

“Dengan jumlah pengangguran semakin meningkat, ramai yang hilang pekerjaaan, selain ada juga yang gaji mereka dipotong sehingga 50 peratus, jadi saya perlu memikirkan sesuatu untuk memulihkan semula akaun syarikat yang hampir kosong itu,” katanya.

Beliau bersyukur sejak semua perintah itu dilonggarkan mulai 10 Jun lalu termasuk orang ramai dibenarkan merentas sempadan dan boleh mula bercuti ke destinasi menarik dalam negara, GGP menerima tempahan yang tidak putus-putus termasuk pada hari biasa.

Menurutnya tempahan hujung minggu sudah penuh sehingga pertengahan bulan Julai ini.

Dalam pada itu, katanya, memandangkan kafe di GGP memiliki dapur khas untuk menyediakan pizza ‘home made’, Mohd Nor Arif mula menjual pizza yang dinamakan Pizza Kayu Api Glamping kepada orang ramai.

“Alhamdulillah, tempahan diterima bukan sahaja dari kawasan Gopeng, malah turut meliputi Ipoh, Batu Gajah dan sekitarnya.

“Memandangkan kita sekarang berada dalam fasa PKP Pemulihan, maka tempahan yang diterima hanya ‘take away’ sahaja,” katanya sambil memberitahu kayu yang digunakan sebagai bahan bakar pizza adalah kayu getah.

Menggunakan resipi sendiri untuk doh dan sos, Pizza Kayu Api Glamping kini merupakan produk terbaharu GGP.

Dapur kayu yang digunakan untuk memasak pizza.

Kesemua pizza disediakan dalam dalam saiz 12 inci dan berharga RM15 sekeping. Saiz yang besar itu sesuai untuk dinikmati empat orang.

“Alhamdulillah, sejak GGP dibuka semula pada awal bulan ini, tempahan yang diterima amat memberangsangkan. Malah hari-hari biasa pun ramai yang menempahnya, apatah lagi hari minggu,” ujarnya yang berharap semua usaha itu membuahkan hasil yang lebih ranum selepas mengalami kerugian besar akibat PKP.

Untuk tempahan pizza, boleh hubungi talian 013-3478857 dan tempahan penginapan atau pakej percutian, hubungi talian 013-2408857 (Shahrul).