Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md. Yusof (tengah) menyerahkan sijil kepada Aedan Mohamad Badrulshah (kanan) sambil diperhatikan Pengasas Kolej Automotif (TOC), Adelaine L.K.Foo (kiri) pada Majlis Konvokesyen Kolej Automotif (TOC) di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan projek kereta Nasional 3.0 menjelang 2020 seperti yang dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata, kerajaan percaya bahawa langkah itu dapat memulihkan industri automotif negara.

Katanya, bagi tujuan itu golongan muda terutama graduan yang memiliki kelayakan dalam bidang berkenaan perlu merebut peluang untuk menceburinya.

“Industri automotif merupakan satu bidang terbesar di dunia yang perlu diteroka.

“Malah, pembuatan komponen dalam automotif juga merupakan kunci kepada bidang ini dan ia dikategorikan sebagai industri global.

“Jadi, kamu kena rebut peluang ini agar visi negara untuk melaksanakan (projek kereta nasional) akan tercapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Kolej Automotif (TOC) di sini hari ini.

MGF04082018_REDZUAN KONVOKESYEN TOC08
Mohd Redzuan Md. Yusof dan Pengasas Kolej Automotif (TOC), Adelaine L.K.Foo (duduk lima kiri) bergambar kenangan bersama pejar-pelajar yang merupakan penerima sijil pada Majlis Konvokesyen Kolej Automotif (TOC) di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2018.

Mohd Redzuan berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan penyertaan golongan muda ke dalam bidang berkenaan yang dilihat sangat diperlukan pada masa ini.

Ini kerana, katanya, ketika negara menuju ke arah negara maju bidang-bidang tertentu seperti automotif diberikan tumpuan agar matlamat yang dikehendaki tidak terencat.

Jelasnya, kerajaan mungkin akan memberi lebih peluang termasuk menghantar pelajar bidang berkenaan ke Jepun bagi mendapatkan kemahiran yang lebih mendalam.

Pada majlis itu seramai 229 pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar asing dari 14 buah negara menerima sijil dan diploma masing-masing.

Majlis graduasi kali ke-11 itu diselaras kelab bermotosikal Anita Bikers yang merupakan penganjur pemotoran kepada kolej berkenaan. – MalaysiaGazette