Yang Dipertua Gabungan Teksi Semalaysia, Kamarudin Mohd Hussain. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sudahlah kehilangan sumber pendapatan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) didakwa mahu menyaman pemandu teksi sehingga RM10,000 kerana kegagalan mendaftar dan mencarum.

Yang Dipertua (YDP) Gabugan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd. Hussain berkata, pihaknya menerima aduan daripada beberapa ahlinya yang diberi notis amaran dalam sekatan jalan raya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Beliau berkata, setelah diteliti notis amaran itu, GTSM merakamkan terima kasih kepada Perkeso kerana sudi turun padang dan bekerjasama dengan PDRM untuk memberi kesedaran betapa pentingnya caruman Perkeso itu.

“Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Perkeso sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang khususnya ahli kami yang masih gagal mendaftar dan mencarum.

“Kami memuji sifat kemanusiaan dan insani yang ditunjukkan Perkeso kepada ahli-ahli kami, walaupun boleh mendakwa di mahkamah, tetapi mereka memilih menyantuni dan memberi kesedaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, GTSM juga menyeru orang ramai yang berkhidmat dalam sektor pengangkutan dan perkhidmatan khususnya pemandu teksi supaya memanfaatkan inisiatif yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Daftar dan carumlah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di Perkeso dangan hanya RM46.60 untuk tempoh setahun bermula dari tarikh caruman bagi pelan 2.

“Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan memberi perlindungan sosial kepada diri kita sendiri dan bakal memberi manfaat kepada waris kita sekitar berlaku sebarang musibah ke atas diri kita.

“Kita seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi inisiatif mengurangkan bayaran caruman sebanyak 80 peratus dan 90 peratus, tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette