Hael Husaini dan Dolla.

KUALA LUMPUR – Ramadan kali ini kembali ceria apabila dua label hiburan terkenal tanah air, Rocketfuel Entertainment dan Universal Music Malaysia bergabung lagi untuk sebuah single raya istimewa berjudul Suara Lebaran Kita.

Single tersebut merupakan kolaborasi mantap di antara penyanyi terkenal, Hael Husaini dengan band wanita popular, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.

“Jika sebelum ini lagu-lagu raya saya selalunya keseorangan, bagi kali ini saya hendak ‘berteman’ pula. Jadi saya menyapa Dolla di media sosial dan mereka memberi respon baik.

Lagu raya rancak dalam nuansa pop dansa ini ternyata mempunyai ‘feel’ yang moden namun masih mengekalkan ‘bunyi’ kemeriahan sambutan Hari Raya itu sendiri.

“Lagu ini saya ciptakan bersama-sama Ezra Kong dan kami ada memasukkan elemen K-pop yang sememangnya sinonim dengan Dolla tetapi telah ‘dimelayukan’ dan pendengar harus mendengarnya sendiri,” tambah Hael dalam nada teruja.

Walaupun sibuk dengan jadual kerja yang padat, Dolla masih sempat merakamkan single raya ini bersama Hael kerana bagi mereka peluang sebegini jarang-jarang berlaku, apatah lagi apabila pelawaan tersebut datangnya dari seorang yang bernama Hael Husaini.

“Sudah tentunya kami sangat teruja dan terkejut apabila artis sehebat Hael ingin berkolaborasi dengan Dolla. Dan single ini merupakan lagu raya kedua daripada Dolla dan pertama kalinya berkolaborasi dengan artis lain.

“Kami serasi bekerja dengan Hael dan Ezra kerana ada persamaan. Proses rakaman di studio mengambil masa selama lima jam sahaja disebabkan bimbingan mereka berdua yang sungguh profesional.

“Walaupun lagu ini agak berbeza dengan genre yang biasa kami bawakan, namun melodinya mengasyikkan, unik, dan quirky,” kongsi Sabronzo.

Suara Lebaran Kita menceritakan tentang perasaan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang dambakan kemeriahan sambutan Hari Raya bersama keluarga dan teman-teman sebelum wabak Covid-19 melanda dunia.

Dan akhirnya pada tahun ini, kita dapat bersua semula dengan wajah-wajah yang telah lama kita rindui.

Apabila dua nama besar industri muzik Malaysia saling bergabung, tentunya video muzik (MV) yang bakal dilancarkan sama menarik, kata Tabby,

“Konsep MV single ini sangat comel dan segar dalam suasana retro yang diselitkan dengan elemen fantasi, kami semuanya menjadi sebuah lukisan yang kemudiannya dihidupkan. Dan kalau hendak tahu lagi kenalah tonton!,” ujar Tabby.

Dalam pada itu, Syasya dan Sabronzo bercadang untuk mengundang Tabby serta Angel beraya di rumah mereka pada tahun ini.

“Sebelum ini, kami tidak berpeluang untuk mengajak Tabby dan Angel beraya di rumah disebabkan pandemik Covid-19.

“Selain itu, Dolla dan Hael berharap agar peminat-peminat kami #iDOLLA dan #Haelers sukakan single raya ini kerana mesej kegembiraan dan kebersamaan yang ada di dalamnya.

“Semoga raya pada kali ini memberi seribu keberkatan dan makna buat kita semua.Lagu Suara Lebaran Kita boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTubeRocketfuel Network. – MalaysiaGazette