The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the child neglect and abuse trial of a 13-year-old Down Syndrome girl, Bella. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 21 APRIL 2022.
The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the child neglect and abuse trial of a 13-year-old Down Syndrome girl, Bella. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 21 APRIL 2022. Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 21 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memberi amaran kepada orang awam dan pegawai mahkamah agar tidak mengeluarkan komen dan hantaran berkaitan kes remaja perempuan sindrom down, Bella dan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Izralizam yang menyindir pihak yang membuat hantaran berkaitan kes itu bagi mendapatkan pengikut di media sosial berkata, komen yang bersifat fitnah, subjudis dan menghina mahkamah sepatutnya disimpan dalam diri sendiri.

Tegas beliau, komen dan hantaran tersebut boleh menganggu perjalanan kes.

“Jangan buat komen-komen yang mengganggu. Saksi kelima pun belum habis ada pula komen-komen yang melampaui bukan sahaja terhadap orang kena tuduh yang belum dibuktikan bersalah. Kita jauh lagi perjalanan untuk memanggil saksi-saksi lain.

“Jadi simpan komen-komen yang berbentuk hina mahkamah, subjudis dan fitnah kepada diri sendiri. Jangan disebarkan untuk mendapat follower dan sebagainya. Dibaca oleh orang tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” katanya dalam mahkamah hari ini.

Serentak itu Iralizam mahu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih mengulangi kesalahan tersebut.

Katanya, mereka yang membuat komen dan hantaran bersifat fitnah, subjudis dan menghina mahkamah boleh dikenakan tindakan.

“Terdapat akta yang mengawal hantaran-hantaran di media sosial yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang boleh dianggap sebagai melanggar undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh itu mahkamah ingin memberikan amaran dan ingatan kepada orang awam khasnya yang ada dalam galeri ini supaya tidak membuat komen-komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya berlaku perkara tersebut saya percaya pihak yang ada kuasa untuk mendakwa khususnya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) boleh mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Izralizam memberikan reaksi terhadap aduan yang dibuat oleh TPR Nor Azizah Mohamad.

Azizah memberitahu mahkamah, komen dan hantaran berkaitan kes membabitkan Bella dan Siti Bainun masih berleluasa di media sosial.

“Sehingga semalam tuan, masih lagi terdapat komen. Antara contoh terdapat komen yang mengatakan bahawa ‘justice for Bella macam mustahil kat dunia’.

“Satu lagi contoh, ‘apa yang berlaku dalam mahkamah sangat mengarut’. Komen sebegini tidak sepatutnya dibuat terhadap kes yang masih berjalan,” kata Azizah.

Selain Azizah turut bangun membangkitkan isu tersebut adalah peguam pemerhati yang dicadangkan oleh Tunku Mahkota Johor, Datuk Baljit Singh Sidhu.

Menurutnya, terdapat peguam pembelaan yang turut menbuat komen dan hantaran mengenai kes itu di media sosial. – MalaysiaGazette