Foto Instagram Rozi Abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Hamil lima bulan tidak menghalang kemunculan penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyi pada majlis makan malam Pintar Rockin’ CEOs 2017, di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Lebih istimewa, Siti tampil buat pertama kali di atas pentas selepas mengumumkan dia hamil bulan lalu.

Siti mempersembahkan lagu Kau Ilhamku menerusi persembahan bersama kumpulan CEO Master Band.

Band itu dianggotai Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi UEM Sunrise, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa; CEO PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala; CEO & Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli dan CEO Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar.

Gambar kemunculan penyanyi kesayangan itu dikongsikan oleh pengurus yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak pada Instagram miliknya.

Hadir pada majlis makan malam itu adalah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Majlis tersebut bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Pintar. – MalaysiaGazette