Warga asing beratur panjang ketika hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) ketika di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Warga asing dalam negara perlu diberikan tempoh selama empat bulan untuk mengambil vaksin Covid-19 sekiranya tidak mahu dihantar pulang.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berkata, selepas empat bulan majikan juga perlu dikenakan tindakan tegas termasuklah hukuman penjara sekiranya gagal memastikan pekerja yang diselia enggan mengambil vaksin.

“Realitinya di negara kita, bilangan pekerja asing adalah tinggi sama ada mempunyai permit atau sebaliknya.

”Sehubungan itu, saya mencadangkan semua warga asing termasuk pembantu rumah ini dipastikan mengambil vaksin penuh bagi memastikan Covid-19 tidak menular. Jika tidak, ia akan menular semula. Covid-19 tidak memilih sama ada seseorang itu warga asing atau rakyat tempatan.

“Beri masa pada mereka. Sekiranya selepas itu, masih ada yang enggan mengambil vaksin, tindakan tegas perlu diambil termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, negara tidak akan selamat daripada pandemik sekiranya penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti warga asing tidak terkawal.

Untuk rekod, kerajaan baru-baru ini turut melaksanakan pemberian vaksin kepada warga asing dengan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara walk-in di beberapa kawasan.

Memberi kelonggaran kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah, kerajaan turut melaksanakan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang memfokuskan vaksinasi kepada pekerja kilang.- MalaysiaGazette