KUALA LUMPUR – Harga jualan runcit bagi semua jenama rokok akan dinaikkan dalam tempoh tiga minggu lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata harga produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan apabila terdapat kenaikan cukai berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok kena dinaikkan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai larangan merokok di bangunan Parlimen, Dr Dzulkefly berkata lapan notis kompaun telah dikeluarkan termasuk kepada seorang Anggota Parlimen sejak dikuatkuasakan semalam.

Tindakan itu diambil susulan pengisytiharan sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen sebagai kawasan larangan merokok bermula semalam.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut mengumumkan larangan penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berusia 21 tahun ke bawah berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Beliau berkata semua penjual minuman beralkohol turut diwajibkan mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ di hadapan lokasi premis masing-masing.

Katanya, minuman beralkohol yang dijual juga hendaklah dipamer di kabinet atau rak yang berasingan daripada kabinet atau rak makanan lain.

Dr Dzulkefly berkata kegagalan mematuhi mana-mana peraturan berkaitan minuman beralkohol merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Ditanya sama ada peraturan berkenaan perlu dipatuhi penganjur ‘Oktoberfest’, beliau berkata ia sepatutnya dipatuhi penganjur acara berkenaan.

Mengulas mengenai standard baharu Sebatian Minuman Keras (CHL), beliau berkata ia diwujudkan bagi mengawal keselamatan dan kualiti produk serta memberi maklumat yang tepat kepada pengguna.

CHL merupakan minuman beralkohol yang dihasilkan daripada minuman beralkohol seperti wiski, rum, vodka dan brandi dengan ditambah etil alkohol yang berasal daripada pertanian atau sulingan yang berasal daripada pertanian.

“Standard yang baharu ini juga menetapkan bahawa produk CHL hanya dibenarkan dijual dalam botol kaca dengan isipadu minimum 700 ml dan tidak lagi dalam botol kecil yang boleh diletak di dalam poket pelajar dan mereka yang di bawah umur,” katanya.- BERNAMA