Jegan meninjau harga barangan di Pasar Awam Bayan Baru hari ini.

BAYAN BARU – Harga bekalan pelbagai jenis sayur-sayuran di negeri ini yang naik secara mendadak pertengahan bulan lalu kini mencatatkan penurunan sehingga 41 peratus.

Bagaimanapun penurunan itu hanya membabitkan 10 jenis sayuran.

Antara sayur yang mencatatkan penurunan adalah tomato iaitu antara 5.27 hingga 41.7 peratus bagi setiap satu kilogram (kg), kacang panjang (8.33 hingga 25 peratus), terung panjang (6.67 hingga 20 peratus), terung bulat (6.67 hingga 25 peratus).

Selain itu, kacang bendi menunjukkan penurunan sebanyak 6.25 hingga 20 peratus, kubis bunga (5.27 hingga 25 peratus), limau kasturi (6.25 hingga 21.44 peratus), kacang buncis (2.86 hingga 41.18 peratus), brokoli (6.67 hingga 20 peratus) dan lada benggala hijau (5.56 hingga 20 peratus).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, secara keseluruhan terdapat 41 jenis sayur-sayuran di pasaran dan setakat semalam 10 daripdanya mencatatkan penurunan.

Jegan (tengah).

Kata beliau, pihaknya menjangkakan harga sayur-sayuran akan kembali normal dalam tempoh masa terdekat.

“KPDN memandang serius isu kenaikan harga barangan dan makanan yang dilaporkan di media arus perdana serta media sosial ketika ini.

“Sehubungan itu, kita laksanakan penguatkuasaan dan pemeriksaan agresif serta berterusan bagi menangani isu kenaikan harga barang.

“Ia termasuk pelaksanaan Ops Suri 5.0 dan Ops Menu 3.0 untuk memastikan pematuhan lebih baik terhadap perundangan yang dikuatkuasakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Awam Bayan Baru hari ini.

Terdahulu, Jegan bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fama negeri, Mohd Azraie Ramli meninjau pasar awam tersebut selain melakukan advokasi kepada peniaga agar mempamerkan tanda harga yang jelas agar tidak mengelirukan pengguna.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, sehingga semalam, pihaknya telah mengeluarkan 36 notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) terhadap beberapa peniaga borong dan runcit di negeri ini.

Jelas beliau, notis itu diberikan susulan kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran seperti sawi, kacang panjang, kubis, tomato, kangkung, kacang bendi dan timun.

“Mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan penandaan harga, menjual melebihi harga maksimum akan disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Selain itu, kita juga menasihatkan pengguna supaya menggunakan kuasa mereka untuk membuat perbandingan harga serta pilih premis perniagaan yang menawarkan harga berpatutan,” kata Jegan. – MalaysiaGazette