Seramai 15 pegawai dan anggota polis Pahang akan menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu sempena Hari Malaysia.

KUANTAN – Seramai lapan lelaki dan tujuh wanita terdiri pegawai dan anggota polis Pahang akan menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu sempena sambutan Hari Malaysia Ke-60.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ekspedisi kali ketiga itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk  Mohd Yusri Othman.

Ekspedisi menawan gunung tertinggi di Malaysia itu bermula esok hingga 18 September ini disertai oleh warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Temerloh.

“Pasukan ini dijangka memulakan pendakian dalam menawan puncak Gunung Kinabalu Jumaat ini dan sampai ke puncak, keesokannya dan pendakian diadakan sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini.

“Tahun ini, pasukan ini memulakan perancangan awal bagi merealisasi impian menawan puncak Gunung Kinabalu. Saya percaya dengan latihan dan persiapan yang dilakukan, ia akan  menguatkan ketahanan fizikal dan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Dan Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang Kepada  Pasukan Team Building PDRM Pahang sempena Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu, di Kuantan hari ini.

Yahaya berkata, pada kali ini penyertaan ekspedisi itu juga disertai Ketua Biro Sukan PERKEP Kontinjen Pahang, Datin Manisah Anuar.

Terdahulu pada 8 Februari tahun lalu, Polis Kontinjen Pahang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu terletak di Sabah itu.

Gunung Kinabalu yang juga  digemari oleh pendaki dari seluruh dunia itu merupakan ketiga tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 4,095 meter dari aras laut.- MalaysiaGazette