PETALING JAYA – Hari pertama kem latihan berpusat pasukan bola sepak negara lebih awal daripada perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives, kurang ceria selepas hanya 17 pemain melaporkan diri di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Sebelas pemain lain hanya akan menyertai skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon secara berperingkat dengan tujun pemain Selangor FC dan dua Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melaporkan diri Isnin hadapan.

Selain itu, penjaga gol Terengganu FC Muhammad Rahadiazli Rahalim akan menyertai latihan selepas melengkapkan latihan kem berpusat pasukan Bawah-23 (U23) pada 6 Disember, manakala pemain pertahanan FK Jablonec Dion Cools, dijadualkan melaporkan diri pada 16 Disember.

Pan Gon ketika ditemui pada sesi latihan hari ini juga mengesahkan dua pemain Kuala Lumpur (KL) City FC iaitu Muhammad Akram Mahinan dan Declan Lambert, tidak akan menyertai pasukan itu selepas mereka memohon untuk dikecualikan atas sebab peribadi.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu berkata beliau dan juga seluruh kem kejurulatihan terpaksa menerima dan menyesuaikan diri kepada situasi yang mereka hadapi sekarang ini.

“Saya gembira di Malaysia dan saya perlu sesuaikan dan terima semua situasi. Saya tidak mahu bising kerana ini peraturan FIFA, jadi ia boleh berlaku. Kami akan lakukan yang terbaik dan berikan yang terbaik untuk mereka yang mahu sertai kami, dan cuba untuk membentuk satu pasukan yang kuat,” katanya.

Berdasarkan kepada Peraturan FIFA berkaitan Status dan Pemindahan Pemain; Lampiran 1: Pelepasan Pemain kepada Pasukan Kebangsan Artikel 6 yang menyatakan, tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar waktu antarabangsa atau di luar kejohanan akhir termasuk kalendar perlawanan antarabangsa.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman dalam kenyataan mengesahkan sudah menerima surat dari KL City, yang menyatakan kedua-dua pemainnya tidak dapat bersama pasukan.

Justeru, beliau berkata skuad negara akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 28 pemain termasuk seorang pemain daripada senarai menunggu iaitu pertahanan kiri Selangor, Muhammad Fazly Mazlan.

Malaysia akan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Disember sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dari 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan. – Bernama