Harith Iskandar

LABUAN – Pelawak, pelakon dan pengacara, Harith Iskander yang juga dinobatkan sebagai ‘Funniest Person in the World’ dalam satu pertandingan anjuran Laugh Factory di Findland tahun lepas, akan mengadakan jelajah Malaysia 2018.

Harith akan membuat persembahan dalam jelajah #KitaOK Live Comedy Tour 2018 ke seluruh negara dan Labuan akan menjadi lokasi terakhirnya yang dijadualkan pada 16 Mac.

Dikenali sebagai ‘Godfather of Stand-Up Comedy’ di Malaysia, kedatangan Harith ke pulau bebas cukai ini dibawakan oleh satu badan bukan kerajaan di sini, Labuan Society dan Hotel Tiara.

Pengerusi Labuan Society Azhar Othman berkata acara ‘stand-up comedy’ itu merupakan program mengumpul dana kepada persatuan itu untuk menjalankan dan membiayai pelbagai aktiviti yang telah dirancang seperti Dana Kemanusiaan Labuan Society.

“Diharapkan, orang ramai di pulau ini dan bandar sekitar seperti Brunei, Miri dan Kota Kinabalu akan datang untuk bertemu pelawak antarabangsa ini dan pada masa sama menyokong usaha kemanusiaan Labuan Society,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.- BERNAMA