Hamzah Zainuddin

Kuala Lumpur – Harta intelek (IP) perlu diberi penilaian sewajarnya supaya diiktiraf sebagai aset berharga dan seterusnya boleh dicagarkan kepada institusi kewangan untuk menjana duit (monetised).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, usaha dari sekarang perlu dilakukan bagi membolehkan harta intelek memiliki nilai komersial dan akhirnya menjadi aset baru yang berharga.

Dengan itu, Lembaga Penyeliaan Harta Intelek (IP Valuers) ditubuhkan dan penilai-penilai diberi latihan asas dan lanjutan bagi membolehkan mereka memberi penilaian yang tepat dan diiktiraf.

“Kita memerlukan sebuah badan yang boleh memberi pengesahan dari segi nilai kepada harta-harta intelek di negara ini.

“Apa yang konsultan-konsultan luar negara berikan, kita juga boleh lakukan perkara yang sama,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Malaysia (JPPH) di sini hari ini.

MoU berkenaan adalah salah satu usaha kerajaan yang mahukan kerjasama tersebut memberi fokus kepada pembangunan pengkalan data harta intelek termasuk kos pembangunan, harga transaksi dan maklumat pasaran sasaran pembangunan modal insan dalam bentuk latihan berkaitan penilaian harga intelek.

Ini seterusnya membangunkan satu rangka kerja yang lengkap untuk menjadikan harta intelek sebagai instrumen cagaran dalam kewangan untuk tujuan pembiayaan. -MalaysiaGazette