Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Defisit fiskal 2021 dijangka berkurangan kepada 5.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun mengambil kira pakej rangsangan ekonomi tambahan dalam belanjawan dengan defisit primer dianggar 2.9%.

Bagaimanapun, kerajaan komited untuk mengurangkan paras defisit secara berperingkat dalam jangka masa sederhana dan meneruskan semula trajektori konsolidasi fiskal tanpa menjejaskan momentum pemulihan ekonomi dan agenda pembangunan jangka masa panjang.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2021 berkata, hasil kerajaan dianggar berjumlah RM236.9 bilion atau 15,1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Unjuran lebih tinggi ini disumbangkan oleh jangkaan peningkatan kutipan hasil cukai kepada RM174.4 bilion manakala hasil bukan cukai dianggar RM62.5 bilion.

Jumlah perbelanjaan dianggar sebanyak RM322.5 bilion atau 20.5% daripada KDNK.

Katanya, jumlah perbelanjaan mengurus (OE) dianggar RM236.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM69 bilion.

Manakala baki RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Sebahagian besar OE untuk emolumen, bayaran khidmat hutang serta bekalan dan perkhidmatan.

Peruntukan DE pula bertujuan memacu dan mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur awam dengan lebih berkesan terutama membiayai pengangkutan dan sambungan Transit Aliran Ringan (MRT2), Lebuh Raya Pan Borneo dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Selain itu, pendidikan dan latihan khususnya pembinaan semula sekolah daif.

Kerajaan akan menyediakan peruntukan besar untuk projek yang sedang dilaksanakan seperti pembinaan makmal patalogi dan perolehan peralatan perubatan memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih berkualiti dan mudah diakses.

Kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan pantas pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi d bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Antaranya Program Subsidi Upah, konsolidasi program bantuan tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), projek infrastruktur berskala kecil dan program jaminan bekalan makanan. – MalaysiaGazettet