Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak terus menyindir Lim Guan Eng selepas Menteri Kewangan itu mengakui kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM21 bilion selepas melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dalam posting terbaharunya, bekas Perdana Menteri itu berkata, harga barang tidak turun dan hasil berkurangan.

Secara berjenaka, Najib bertanya adakah itu salahnya juga.

Menurut beliau, jika hasil sebanyak itu tidak hilang tentu program dan inisiatif untuk rakyat boleh diteruskan. Misalnya, pembinaan pengangkutan awam diteruskan ikut perancangan.

Jadi, Bajet 2019 nanti tidak perlu minta rakyat berkorban dengan cukai-cukai tambahan yang bakal diumumkan.

“Saya minta mereka yang pegang tampuk kuasa di Kementerian Kewangan, tadbirlah kewangan negara dengan penuh berhemah, hati-hati dan bijaksana,” katanya.

Semalam, Guan Eng mengakui hasil negara dianggarkan berkurangan sebanyak RM21 bilion bagi tahun ini selepas Cukai Barangan da Perkhidmatan digantikan dengan SST.

Katanya, anggaran kutipan SST bagi tahun ini untuk tempoh September sehingga Disember 2018 adalah sebanyak RM4 bilion.

Menurut beliau, kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi tahun 2018. – MalaysiaGazette