Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

PASIR PUTEH – Hiburan yang berkonsepkan Islam perlu diketengahkan terutama membabitkan masyarakat luar bandar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata ia penting bagi melahirkan insan yang berbudi pekerti, berakhlak dan berbudi serta mewujudkan perasaan kasih sayang dan saling membantu sesama Islam.

“Program berteraskan Islam ini perlu diberi keutamaan kepada generasi muda agar mereka tidak terbabit dengan budaya negatif seperti melakukan jenayah dan penyalahgunaan dadah yang merosakkan masa depan mereka.

“Islam perlu ditampilkan sebagai model contoh agar masyarakat bukan Islam terus menghormati kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival iNelayan Tok Bali di sini, Khamis malam.

Karnival dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama 24 agensi kerajaan persekutuan dan negeri berkaitan Islam, antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Tabung Haji (TH).

Antara program yang diadakan ialah Himpunan Dakwah Belia Kelantan, perlawanan futsal, pameran dan jualan sukan sunnah, Dapur Halal dan Forum Perdana Ehwal Islam.

— BERNAMA