Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2021.

KITA buka kembali kitab lembaran sejarah umat islam dalam mengenang peristiwa hijrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dari Mekah hingga ke Madinah. Dengan berbekalkan kecekalan,iltizam dan keimanan dalam melaksanakan suruhan yang diwahyukan oleh Allah SWT, maka dilaksanakannya dengan penuh kesungguhan dan kesabaran demi menyebarkan syiar islam ke seluruh dunia.

Dalam erti kata lain, hijrah juga bermaksud perpindahan. Maka, penghijrahan atau perpindahan itu juga boleh membawa kita ke arah dua jalan yang berbeza, sama ada kearah kebaikan atau keburukan.

Dalam kamus politik, makna penghijrahan  tidak dijelaskan dengan baik kerana ianya seringkali dikaburi dengan slogan-slogan seperti “demi agama,bangsa dan rakyat”. Penghijrahan ahli politik ini berlaku disebabkan oleh tawaran kedudukan dan harta demi mengekalkan kuasa mereka sehingga berlaku aksi melompat parti.

Tindakan yang dilakukan ini tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat, bahkan nyawa dan keselamatan rakyat terus dipertaruhkan demi mengekalkan kedudukan mereka yang terancam.

Kita perlu sedar bahawa rakyat juga mempunyai kuasa untuk melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik melalui  peti undi semasa pilihan raya. Rakyat akan terus menilai sikap dan keprihatinan pemimpin mereka yang seharusnya bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat.

Sekiranya penghijrahan ini berlaku demi menjaga kebajikan orang ramai, maka sikap ini harus dipuji dan dihormati. Sekiranya demi menjaga kepentingan diri, maka harus dikeji.

Penghijrahan ke arah jalan kebaikan mungkin mempunyai cabaran dan halangan yang bertimpa. Tetapi, tekad dan usaha yang dipikul akan membantu kita untuk meneruskan perjalanan. Sejak penularan virus Covid-19 ini menghantui negara kita, banyak dugaan dan rintangan yang harus ditempuhi oleh rakyat.

Rakyat terus menderita, terhimpit dan terus tertekan. Ada yang kehilangan keluarga, kehilangan kerja dan kehilangan sumber pendapatan sehingga bendera putih terpaksa dikibarkan hanya kerana ingin meneruskan kehidupan.

Kesimpulannya, marilah bersama-sama mengambil iktibar dan pengajaran dalam memahami erti sebenar sebuah penghijrahan dengan menyemai sikap kesungguhan dalam diri untuk berubah ke arah yang lebih baik dengan bersulamkan semangat dan cita-cita untuk memperbaiki segala kelemahan dan membina semula kerosakan yang berlaku di negara kita.

Salam Maal Hijrah 1443H.

Muhammad Azha Salahudin
Aktivis NGO NGO ADAT