Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berbincang sesuatu dengan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi pada Perhimpunan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Menghina peranan Angkatan Tentera merupakan satu perbuatan jijik dan tidak boleh diterima, malah pihak yang melakukannya merupakan musuh negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sejak akhir akhir ini netizen lebih menjurus memberi komen dengan memainkan isu perkauman dan melupakan peranan Kementerian Pertahanan dan unit-unit di bawahnya, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Apabila bekas Ketua Menteri Sabah mengkritik tentera elok jadi jaga pengawal keselamatan, tentera wanita pula elok jadi amah atau tukang cuci tapi rakyat tak melenting.

“Saya arahkan ATM jawab (kritikan) kerana ia boleh merendahkan pasukan tentera.

“Rakyat kini melenting dan membela pasukan tentera pula apabila jutawan katakan tentera makan tidur eloklah jadi peneroka Felda yang mana saya lihat perkauman dimainkan.

“Kenapa seorang Melayu Islam kritik ATM netizen diam, tapi kenapa ada kritik jika Tiong Hua bukan Melayu kritik tentera terus bising dan membela.

“Bagi kita menghina ATM adalah amat jijik dan tidak boleh diterima dan saya lihat perkara in secara serius sebab antara negara yang berlaku peperangan adalah berlaku masalah etnik dan masalah salah urus menyebabkan beberapa negara Islam hancur,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam amanat Perhimpunan Bulanan Kementrian Pertahanan dan kempen mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan Kebangsaan 2019 di Dataran Pahlawan, Wisma Pertahanan.

Katanya, tentera tetap setia dan berkhidmat di bawah kerajaan memerintah dan mempertahankan kedaultan negara.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kenyatan pengasas Gamuda Bhd., Koon Yew Yin yang menyatakan ramai anggota tentera hanya makan dan tidur.

Koon dalam laman blognya berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereki tidak pernah menembak dan berikutan itu beliau mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas di ladang Felda.

Namun Yew Yi memohon maaf selepas kenyatannya itu dikritik pelbagai pihak.

Mohamad berkata, setalat ini beliau tidak menerima permohonan maaf daripada Pengasas Gamuda itu. – MalaysiaGazette