Fitri Saari.

KUALA LUMPUR – Empat muka baharu menjadi pilihan ketua jurulatih, Arul Selvaraj dalam senarai 30 pemain yang akan meneruskan kem latihan pusat skuad hoki lelaki kebangsaan dengan nama jentera tengah berpengalaman seperti Fitri Saari tercicir.

Empat muka baharu itu ialah penjaga gol, Muhammad Shafie Sahrom, Zulpidaus Mizun (pertahanan), Pavandip Singh (tengah) dan Nur Rahul Hrisikesa Mohd Murni Tatchana (penyerang) yang bakal meneruskan latihan.

“Untuk itu, saya amat menanti-nantikan untuk bekerjasama dengan pemain yang baharu dipilih ini dan juga muka lama yang kembali beraksi. Setakat ini, semua yang dipilih menunjukkan satu disiplin dan motivasi tinggi untuk beraksi dalam skuad kebangsaan,” kata Arul dalam satu sidang media secara langsung menerusi akaun Facebook Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai kenapakah Fitri tidak disenaraikan, Arul berkata, sehingga kini, prestasi pemain kelahiran Terengganu belum mampu menambat hatinya.

“Begitupun, sekiranya dia menunjukkan sesuatu di liga hoki kebangsaan nanti, pasti saya akan mempertimbangkannya semula.”

Daripada 30 pemain itu, barisan kejurulatihan turut menyenaraikan pemain yang masih dalam proses pemulihan antaranya seperti barisan penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Haziq Samsul dan Muhammad Shahril Saabah.

“Berkenaan dengan pemain yang dipilih dalam skuad walaupun masih dalam proses pemulihan. Haziq dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad (pertahanan) sudah mula berlatih dalam pasukan tetapi masih dalam keadaan 50 ke 60 peratus.

“Shahril, Tengku dan Muhammad Hafiz Zainol (tengah), masih belum menjalani latihan tetapi saya percaya mereka ada sesuatu yang boleh diberikan kepada pasukan. Daripada laporan pegawai fisioterapi kami, Shahril akan menyertai pasukan dalam dua atau tiga minggu lagi, Tengku minggu depan dan Hafiz tidak lama lagi.

“Saya memberikan peluang ini kerana kecederaan mereka bukan bersifat berpanjangan berbulan-bulan cuma dalam dua ke tiga minggu. Saya pasti mereka akan kembali dengan lebih kuat dan proses pemulihan berlangsung dengan sangat baik. Saya tidak mahu kehilangan pemain ini daripada sudut kualiti yang mereka ada,” kata Arul.

Senarai nama 30 pemain:

Penjaga gol – Mohammad Hairi Abdul Rahman, Adrian Andy Albert, Muhammad Shafie Sahrom, Muhammad Hafizuddin Othman

Pertahanan – Muhammad Razie Abdul Rahim, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Najib Abu Hassan, Syarman Mat Tee, Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Zulpidaus Mizun

Tengah – Faiz Helmi Jali, Meor Muhammad Azuan Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Pavandip Singh, Muhamad Ramadan Rosli, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Hafiz Zainol

Penyerang – Faizal Saaari, Muhammad Shahrul Saabah, Muhammad Nor Firdaus Rosdi, Muhammad Firhan Ashaari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Haziq Samsul. – MalaysiaGazette