Hotel Royale Chulan Bukit Bintang

KUALA LUMPUR – Proses penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd. (Boustead) masih belum dimuktamadkan.

Pejabat Menteri Pertahanan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, proses pernilaian masih dijalankan dan perlu dilakukan dengan teliti memandangkan lokasinya yang strategik dan berada di kawasan pelancongan utama serta zon perhotelan pusat bandar Kuala Lumpur.

“Oleh itu, tawaran yang terbaik daripada pembeli-pembeli yang berminat sedang dalam pertimbangan dan keutamaan akan diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, LTAT dan Boustead bersedia untuk menjual aset strategiknya, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta selepas menerima tawaran daripada sebuah firma Singapura, Hotel Royal Limited.- MalaysiaGazette