HONG KONG – Huawei Technologies Co Ltd merancang untuk menjual perniagaan kabel dasar lautnya.

Ini sekali gus menjadikannya penjualan aset terbesar pertama selepas Amerika Syarikat menuduh syarikat dari China itu menjadi ejen pengintip.

Menurut kenyataan Hengtong Optic-Electric Co Ltd. kepada Bursa Saham Shanghai, ia telah menandatangani surat hasrat dengan anak syarikat Huawei iaitu Huawei Tech Investment Co. Ltd. pada 31 Mei lalu.

Ini bagi tujuan pembelian 51 peratus pegangan dalam Huawei Marine Systems Co. Ltd. yang akan dibayar melalui tunai dan terbitan saham.

Syarikat produk rangkaian telekomunikasi optik berpangkalan di wilayah Jiangsu itu bagaimanapun tidak mendedahkan harga transaksi.

Huawei Technologies pula enggan memberi maklum balas segera mengenai perkara itu ketika dihubungi Reuters.

Kabel dasar laut merupakan tulang belakang kepada trafik internet global.

Huawei selama ini berjaya meningkatkan penguasaan dalam pasaran yang didominasi oleh syarikat AS, SubCom, syarikat Jepun, NEC Corp dan Alcatel-Lucent milik Eropah sejak ia menubuhkan Huawei Marine pada 2008 dengan usahasama syarikat Britain, Global Marine.-MalaysiaGazette