Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PUTRAJAYA – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata, ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin,” katanya.

Zulkifli berkata, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Katanya, ini terbukti, kaedah pencegahan melalui pemvaksinan dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013.

Enam keputusan berkenaan ialah berkaitan pelalian Rubela; imunisasi hepatitis B; imunisasi campak, tuberculosis , batuk kokol, difteria, tetanus dan polio; pelalian vaksin meningococcal meningitis; vaksin Human Papillomavirus (HPV); dan vaksin Meningitis Menveo, katanya.

Di peringkat antarabangsa, katanya institusi-institusi fatwa dunia turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin, antaranya institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.

Justeru, dalam isu pengambilan vaksin COVID 19, ia adalah ketetapan yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

“Ini kerana, kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbang tara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti,” katanya. – Bernama